Search

USUL BAHAS TUNTUTAN KESULTANAN SULU DITOLAK DI DUN, PARLIMEN

July 18, 2022

admin

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang DUN Sabah bagi mengemukakan usul perbahasan mengenai tuntutan Kesultanan Sulu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya menyatakan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Senallang) usul berkenaan diterimanya kurang daripada 24 jam sebelum sidang bermula hari ini.

“Saya sudah menerima satu usul daripada ADUN Senallang pada jam 11:20 pagi tadi.

“Usul berkenaan adalah dilihat mengikut Peraturan Mesyuarat 23 (2) di mana permohonan dibuat kurang daripada 24 jam yang telah ditetapkan sebelum bermulanya sidang.

“Sesuailah kalau Yang Berhormat Senallang sebagai Yang Berhormat Semporna membawanya (perkara berkaitan tuntutan Kesultanan Sulu) di Parlimen pada sidang yang sedang berlangsung ini.

“Memandangkan ini adalah perkara dibawah senarai persekutuan (federal list), ia harus ditangani oleh kerajaan persekutuan,” katanya ketika sesi persidangan DUN ke-16, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafie berkata, walaupun usul dikemukakan hari ini ditolak namun beliau memohon agar ia boleh dibentangkan serta dibahaskan dalam persidangan terbabit.

“Usul ini adalah mendesak kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan mahupun nyawa rakyat.

“Hal ini perlu membabitkan pandangan dan pendapat dewan rakyat dan rakyat Sabah.

“Ia tidak seharusnya hanya bergantung kepada jawatankuasa dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis, hari ini turut mempersoalkan sebab usul tuntutan kesultanan Sulu ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun di Dewan Rakyat sehingga menimbulkan kekecohan.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia. – Info X