Search

Lelaki kena cekup kes tipu

May 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki tempatan dicekup polis ketika berada di kawasan tempat letak kereta Kampung Melati Burut, di sini, selepas disyaki terbabit dalam kes penipuan.

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai menerusi operasi dijalankan kira-kira jam 8.20 malam semalam hasil maklumat dan risikan berkaitan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Ketika operasi dijalankan, anggota polis memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa PDRM sebelum menahan suspek.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pegawai penyiasat kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang rampasan dibuat ketika tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius kes penipuan dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan mana-mana tawaran mencurigakan terutama membabitkan urusan kewangan. – Info X