TUARAN: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam serbuan di kawasan Taman Telipok Ria, di sini, Ahad lalu.
Suspek warga Filipina berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika berada di kawasan parkir hadapan sebuah premis di taman perumahan berkenaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan berkaitan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut menemui 12.6 gram dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM700.
“Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Telipok Ria.
“Operasi dan risikan bagi mengesan saki-baki individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X