KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membuat semakan kadar pemberian khas kepada Sabah sejajar pendirian tegas kerajaan negeri supaya semakan terkini di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan dilaksanakan pada tahun ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketegasan itu tetap disuarakan meskipun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di peringkat Mahkamah Rayuan.
“GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.
“Diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026.
“Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil ahli-ahli yang berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis.
Turut bersama pada sesi perbincangan itu ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63).
Armizan berkata, komitmen dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan hari ini untuk membetulkan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan pada pentadbiran-pentadbiran lalu.
Katanya, kerajaan Persekutuan terdahulu bukan saja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa.
Tegasnya, GRS dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan terus menggunakan platform dan wadah perundingan yang diwujudkan untuk memastikan semakan kadar baharu Pemberian Khas dibuat tahun ini dan dapat mencapai angka yang jauh lebih tinggi sejajar hak negeri.
“Syor ini telah dikemukakan secara rasmi. Sabah menuntut hak dan tambahan hasil ini untuk memperbesarkan ruang fiskal negeri untuk kesejahteraan rakyat dan lonjakan pembangunan negeri.
“Sebagai contoh, dengan peningkatan Special Grant dari hanya RM26.7 juta dari tahun 1974-2021, kadar yang diterima kini RM600 juta setahun telah membolehkan beberapa inisiatif baharu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, pada peringkat awal peningkatan kadar itu, kerajaan pimpinan Hajiji telah memutuskan beberapa inisiatif yang memanfaatkan secara langsung kepada rakyat supaya hak itu dapat didengar, dilihat dan dirasai serta-merta oleh rakyat dimulai dengan kumpulan rentan dalam kategori miskin.
“Antaranya, pelaksanaan inisiatif Rumah Mesra SMJ. Setakat 2022 hingga 30 April 2026, sebanyak 6,634 rumah telah siap dibina dan telahpun diduduki isi rumah miskin.
“Sementara itu, inisiatif Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang telah bermula dua tahun lalu pula telah menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata dengan jangkaan peningkatan Pemberian Khas pada tahun ini, Kerajaan Negeri disasar memberi fokus kepada inisiatif tambahan seperti menaik taraf rangkaian sistem perpaipan air untuk menangani isu non-revenue water (NRW) dan pembinaan jambatan-jambatan seluruh negeri khususnya kawasan luar bandar. – Info X