Search

Dua rumah, sebuah Myvi musnah dalam kebakaran

May 29, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Gum-Gum Batu 16, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.08 tengah malam itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Sandakan tiba di lokasi pada jam 12.30 tengah malam selepas menempuh perjalanan sejauh 23 kilometer.

“Kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal berkeluasan 25×30 kaki persegi setiap satu dan kedua-duanya telah terbakar 100 peratus semasa ketibaan pasukan bomba.

“Turut terbakar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.51 tengah malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 pagi,” katanya. – Info X