KOTA KINABALU: Spesimen tumbuhan misteri yang ditemukan di Taman Bukit Tawau pada 2014 akhirnya disahkan sebagai spesies baharu selepas melalui kajian saintifik mendalam oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Spesies baharu itu dikenali sebagai Ardisia condensiflora dan diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lalu dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa (Vol. 758, No. 3).
Penemuan dan pengesahan spesies berkenaan dilakukan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr Avelinah Julius bersama Dr Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS.

Menurut kenyataan IBTP, tumbuhan itu ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau, di Tawau.
Katanya, bagi mengesahkan status spesies berkenaan, kajian taksonomi dan herbarium secara terperinci dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjam daripada Herbarium Taman Sabah.
“Proses ini membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi secara berterusan dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi,” menurut kenyataan itu.
Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemukan di Taman Bukit Tawau sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.
Berdasarkan dua rekod koleksi yang ditemukan, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan taburan habitatnya yang sangat terhad.

Bagaimanapun, spesies berkenaan masih belum menerima penyenaraian rasmi daripada badan antarabangsa itu.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata hutan Sabah kekal menjadi antara “makmal hidup” paling berharga di dunia.
“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.
Dr Avelinah pula berkata, penemuan itu menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains.
“Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan penerbitan berkenaan adalah antara hasil kerjasama menerusi Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens selain sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS.
Sejak 2017, Dr Avelinah dilaporkan sudah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini. – Info X