KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka, di sini, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42, ditemukan oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 11.20 pagi di lokasi sama dia dilaporkan terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 8 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat.
“Pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air di sepanjang persisiran sungai selain operasi selaman oleh Unit PPDA.

“Mangsa berjaya ditemui pada kedalaman kira-kira lapan meter sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit PPDA Zon Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.

Terdahulu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka.
Kejadian itu disedari rakan sekerja sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 malam dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian. – Info X