KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan permohonan menjadi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Permohonan itu diserahkan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick ketika mengetuai delegasi partinya mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, hari ini.
Ewon berkata, UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan negeri dan memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan UPKO bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei yang lalu sebulat suara bersetuju untuk memohon menjadi parti komponen GRS.
Ketika ini GRS dianggotai lima parti tempatan Sabah, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
GRS sebelum ini dianggotai lapan parti komponen, namun dua parti iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari gabungan itu sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November tahun lalu.
Ia kemudian diikuti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pimpinan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada April lalu. – Info X