KOTA KINABALU: Keputusan UPKO memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih kukuh, matang dan berpaksikan kepentingan Sabah.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata langkah UPKO itu sejajar hasrat untuk melihat politik Sabah terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan.
Katanya, langkah itu yang sewajarnya diambil, bukan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat dan melambatkan pembangunan negeri.
“Kita menyeru semua pihak untuk mengambil sikap yang sama dengan mengutamakan kestabilan, perpaduan dan masa depan Sabah melebihi kepentingan politik sempit.
“Masa depan Sabah akan menjadi lebih kuat apabila parti-parti tempatan bersatu suara dan tenaga demi rakyat negeri ini,” katanya mengulas kenyataan UPKO mengenai hasrat untuk menyertai GRS pada Jumaat.
Azrul berkata langkah parti itu adalah perkembangan positif ke arah memperkukuh lagi kesatuan politik tempatan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan kuat.
“GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik adalah asas penting kepada pembangunan negeri.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah berjaya bergerak lebih baik melalui pelbagai agenda pembangunan, pelaburan, penyelesaian isu asas rakyat serta perjuangan hak-hak Sabah di bawah MA63,” katanya. – Info X