RANAU: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi lelaki cedera selepas dua kenderaan pacuan empat roda bertembung dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Bongkud – Kota Marudu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa yang berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda yang bertembung di lokasi kejadian.
Katanya, kenderaan dipandu lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kampung Tarawas menuju ke pusat timbang kelapa sawit di Kampung Bongkud.
“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sebelum bertembung secara berhadapan dengan sebuah lagi pikap yang dipandu mangsa dari arah Lohan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan pertama mengalami kecederaan pada tangan kanan, manakala pemandu kenderaan kedua tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 5.01 petang oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X