KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjelaskan isu 40 peratus ketika hadir merasmikan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, hari ini.
Perkara itu disebutnya selepas ditanya wartawan maklum balasnya terhadap kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mengenai isu berkenaan di ibu negara pada Jumaat.
“Itu saya akan jelaskan esok (hari ini) di Sabah. Saya akan ke Sabah,” katanya.
Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual tiba di Hongkod Koisaan pada jam 11 pagi sebelum menyampaikan ucapan perasmian dan menyaksikan persembahan kebudayaan serta melawat rumah-rumah tradisi pelbagai etnik Kadazandusun di sekitar Kompleks Rumah Tradisi KDCA.
Sebelum itu, Perdana Menteri dijadual tiba dari Kuala Lumpur dengan pesawat khas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada kira-kira jam 10.20 pagi.
Selain memeriahkan sambutan Kaamatan yang diraikan masyarakat pelbagai etnik di Sabah, khususnya Kadazandusun dan Murut, kehadiran Perdana Menteri sememangnya dinanti berikutan isu pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah.
Isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sentiasa menjadi tumpuan setiap kali tibanya Kaamatan, lebih-lebih lagi banyak perdebatan mengenainya di antara pemimpin kerajaan dan pembangkang di Sabah sejak kebelakangan ini.
Pada Khamis, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan keyakinan terhadap Kerajaan Persekutuan untuk bersetuju membuat semakan kadar pemberian khas dalam isu 40 peratus kepada Sabah pada tahun ini.
Menerusi satu kenyataan, Armizan berkata ia sejajar pendirian tegas kerajaan negeri pimpinan GRS supaya semakan terkini di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada tahun ini, meskipun kes berkaitan hak 40 peratus masih dalam proses perundangan di peringkat Mahkamah Rayuan.
“GRS telah menyatakan pendirian tegas supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini juga.
“Diyakini Kerajaan Persekutuan akan bersetuju untuk membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu pada tahun 2026.
“Ini sejajar dengan komitmen yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini termasuk dalam platform rasmi di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 13 November 2025 bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Pemberian Khas bagi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Kenyataan beliau menyusul selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Sesi perbincangan itu disertai tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63), iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.
Armizan berkata, komitmen dizahirkan Perdana Menteri berhubung isu 40 peratus memaparkan komitmen Kerajaan Persekutuan hari ini untuk membetulkan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan pada pentadbiran-pentadbiran lalu.
Katanya, kerajaan Persekutuan terdahulu bukan saja tidak membuat sebarang semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa.
Perdana Menteri turut dijangka menjelaskan perkembangan semasa isu global, terutama berkaitan bahan api dan langkah kerajaan menangani isu subsidi serta kenaikan harga yang membebankan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak.
Lawatan singkat Perdana Menteri ke Sabah hari ini dijadual berakhir pada jam 1 tengah hari sebelum kembali ke ibu negara dengan pesawat khas dari Terminal 2, KKIA. – Info X