KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mengharapkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini akan membawa ‘khabar gambira’ berhubung status pelaksanaan hak 40 peratus negeri ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata ealaupun hak Sabah itu dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, rakyat dan kerajaan negeri ini tetap berpendirian bahawa dua komponen utama cukai semasa yang tidak dipertikaikan perlu dimulakan dengan bayaran segera.
“Semakan terkini Perkara 112C dan 112D perlu dilaksanakan tahun ini.
Kerana itu, kita mengharapkan Perdana Menteri menghadiahkan berita baik kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar dijadualkan hadir merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Penampang pagi ini.
Pada Khamis, semua Wakil Rakyat Kerajaan yang hadir Taklimat Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepakat agar dua kerangka utama itu harus dilaksanakan segera oleh kerajaan Persekutuan.
Masiung berkata, dua kerangka utama yang tidak dipertikaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan MA63 baru-baru ini adalah menerusi cukai kastam dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, pengumuman Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan penting dan ia amat dinantikan pemimpin dan seluruh rakyat negeri ini.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu menjelaskan, berdasarkan anggaran semasa 40 peratus bahagian Sabah daripada kutipan itu merangkumi kira-kira RM7.547 bilion.
Maka pemberian khas Sabah adalah RM3.019 bilion, tambahnya.
Isu tuntutan 40 peratus Sabah kekal menjadi agenda utama rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan. – Info X