KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata Kaamatan telah berkembang menjadi perayaan yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang seiring peredaran zaman.
Menerusi perutusan Kaamatan sempena sambutan kemuncak perayaan itu pada 30 dan 31 Mei, Tun Musa berkata keharmonian dan persefahaman yang dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama terus menjadi contoh kepada negara.
“Justeru, kita mesti terus menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan serta muhibah yang telah lama dipupuk bersama.
“Ketika Sabah terus melangkah ke arah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, adalah penting agar tiada komuniti atau kawasan yang tercicir daripada arus kemajuan.
“Penekanan berterusan perlu diberikan kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman,” katanya.
Tun Musa berkata, Pesta Kaamatan adalah antara perayaan kebudayaan yang amat bermakna di Sabah.
Katanya, perayaan yang berakar daripada rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah serta tradisi yang diwarisi turun-temurun itu, melambangkan kekayaan warisan budaya, semangat kental dan perpaduan rakyat Sabah.
“Walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat telah berubah seiring arus pemodenan dan perkembangan semasa, intipati Kaamatan sebagai perayaan kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap kekal utuh,” katanya.
Beliau berkata, generasi muda juga perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, daya tahan dan nilai-nilai murni agar mampu menyumbang secara bermakna kepada masa depan Sabah.
Dalam masa yang sama, katanya rakyat negeri ini mesti terus memelihara dan menghargai tradisi budaya, warisan masyarakat pribumi serta nilai-nilai yang diwariskan oleh nenek moyang.
“Tradisi, bahasa, seni dan adat resam masyarakat kita merupakan khazanah yang amat bernilai serta menjadi identiti dan jiwa Negeri Sabah. Menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan ini terus subur, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Sempena sambutan yang penuh bermakna ini, marilah kita bersama-sama mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan serta memperkukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan sesama kita demi memastikan Sabah terus aman, maju dan makmur untuk semua.
“Pada kesempatan ini, saya dan isteri sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya. Kotobian Tadau Tagazo Do,” katanya. – Info X