Search

RM1.5 bilion pemberian khas untuk Sabah, hak 40 peratus tetap dilaksanakan – PM

May 30, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah kepada RM1.5 bilion, berbanding RM600 juta sebelum ini.

Peningkatan itu diumumkan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Sabtu.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengulangi komitmen Kerajaan Madani pimpinannya untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hak yang dimiliki Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tetap dilaksanakan setelah rundingan mengenai kaedah pelaksanaannya dimuktamadkan menerusi rundingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam beberapa bulan lagi.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak mahu disamakan seperti kepimpinan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan hak untuk Sabah dan menyerangnya atas apa yang berlaku sebelum ini.

“Sekarang ditakdirkan saya di tampuk kekuasaan, saya tidak mahu abaikan. Saya tidak mahu dikenali orang yang tidak merasa prihatin dan tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah. Jadi sebab itu kerajaan Persekutuan, saya bawa Jemaah Menteri, saya lafazkan di Parlimen bahawa Kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus itu.

“Jangan ungkit pemerintahan yang lalu dan serang saya akibat masalah-masalah kecuaian lama. Kerana terbiasanya banyak yang terbabas, jadi kita mula sekarang. Sebab itu saya berterima kasih kepada wakil-wakil dari Sabah ini dengan sopan dan terutamanya sahabat saya Datuk Seri Hajiji. Dia tidak lantang suaranya, tapi dalam, tiap pertemuan dia cakap halus budi bahasanya tapi menikam.

“Sebab itu saya beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, kita kena cari jalan. Jadi sebab itu saya segera minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bicara secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Maka soalnya bukan soal dasar. Dasar hari pertama hanya Kerajaan MADANI pimpinan saya yang meletakkan ‘no argument, it is a policy that must be implemented, period’,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang perlu diselesaikan ketika ini adalah soal pelaksanaan hak 40 peratus yang memerlukan rundingan lanjut di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sekarang cabarannya bagaimana kaedah pelaksanaan. Bila bincang soal hak negeri, perjanjian persekutuan, itu tidak boleh kita pakai runding satu dua hari selesai. Kena faham setiap keputusan yang saya buat, itu implikasinya langsung ke Sarawak dan negeri-negeri lain.

“Betul saudara katakan 1963 keadaannya lain tetapi dia akan mengundang perbincangan. Saya bukan guna ini alasan untuk menolak, saya hanya ceritakan ini dia Malaysia, ini kepelbagaiannya, ini hubungan negeri-negeri.

“Sabah, Sarawak itu agak istimewa kerana 1963 perjanjian tetapi negeri-negeri lain pun ada hak mereka masing-masing. Mereka tidak mahu terasa terpinggir dan tertinggal. Jadi yang saya sebut di sini ialah rundingan itu harus teliti.

“Tiap keputusan kita ini keputusan terkait dengan perjanjian sebenarnya. Jadi tiap keputusan kita jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci. Ini yang saya minta bawa amanahkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama dengan Menteri Kewangan II dan saya juga minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama Menteri Kewangan II untuk teliti.

“Ia mengambil masa sedikit, tetapi ia tidak akan menolak kenyataan bahawa dana harus diberikan. Itu juga tidak harus dipersoalkan,” katanya,” katanya.

Anwar berkata, walaupun berlaku isu geopolitik global disebabkan krisis di Asia Barat yang menjejaskan harga bahan api dunia dan perbelanjaan untuk subsidi di negara ini, ia tidak dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah.

“Jadi, bagaimana kita tangani untuk sekarang sebelum dimuktamadkan? Sekarang belum dimuktamadkan dalam perbincangan yang lebih teliti. Apakah dia tunggu sehingga dimuktamadkan untuk salurkan dana? Saya tidak fikir saudara Hajiji atau rakan-rakan di Sabah akan sabar. Berapa lama perbincangan itu berlaku, saya fikir tidak munasabah, mesti selesai dalam beberapa bulan.

“Kerana sebaik saja draf awal di sini dibawa kepada Finance Committee dan kepada Kabinet dan dalam rangka itu mesti ada perbincangan yang lebih teliti selain daripada aspek perlembagaan. Tetapi saya tidak mahu dianggap sengaja melengah-lengahkan. Saya tekankan sekali lagi soal 40 peratus walaupun dikatakan ada kekangan 112 bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji.

“Sama ada bulan Jun atau Disember itu soal yang harus diputuskan oleh dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan rundingan di antara Persekutuan dan negeri.

“Tapi untuk sekarang hari ini interimnya dulu RM600 juta. Jadi untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion ringgit,” katanya. – Info X