KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melancarkan Ops Kesan 6.0 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan operasi susulan krisis bekalan global pada awal tahun ini yang mencetuskan lonjakan harga minyak mentah dunia sehingga memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di Malaysia.
“Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan untuk memperoleh keuntungan tinggi tidak munasabah.
“Tindakan penguatkuasaan ini selaras dengan peruntukan Akta 723 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
“Ops Kesan 6.0 turut menggunakan data sedia ada yang dipungut secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, skop pemeriksaan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan termasuk pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit.
“Antara sektor utama yang menjadi fokus operasi termasuk sektor petrokimia melibatkan pembungkusan dan plastik seperti polietilena dan polipropilena serta baja pertanian seperti urea dan ammonia.
“Bagi sektor pertanian pula, pemeriksaan tertumpu kepada bekalan sayur sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah.
“Dalam sektor penternakan, operasi membabitkan makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta semua jenis telur ayam gred A, B dan C,” katanya.
Bercakap lanjut beliau berkata, sektor pengangkutan turut diberi perhatian khusus membabitkan caj penghantaran logistik selain pemeriksaan berkala berdasarkan aduan semasa pengguna.
“Sepanjang operasi berlangsung, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21 Akta 723 kepada premis diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi.
“KPDN menegaskan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi atau memberi maklum balas terhadap notis berkenaan.
“Notis berkenaan menjadi instrumen penting untuk mengarahkan pengemukaan dokumen perniagaan, maklumat kos dan invois bagi membolehkan analisis terperinci terhadap sebarang aktiviti pencatutan dijalankan.
“Kegagalan mematuhi arahan atau mengemukakan maklumat palsu menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen berkaitan tanpa perlu menunggu keputusan akhir analisis margin keuntungan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya hasil analisis mendapati wujud kenaikan keuntungan semasa yang melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya dan siasatan lanjut membuktikan berlaku pencatutan, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011.
“Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua atau seterusnya membawa denda sehingga RM1 juta.
“Bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kesalahan kedua dan seterusnya pula membawa hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kementerian untuk terus mengesan dan mengekang aktiviti pencatutan bagi memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat terus terpelihara. – Info X