PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melaksanakan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk peningkatan pembayaran interim kepada negeri itu daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Ewon berkata, pengumuman berkenaan mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan pemuktamadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus dilaksanakan.
Katanya, keputusan menaikkan bayaran interim itu merupakan langkah positif yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu berkaitan hak kewangan Sabah yang sekian lama diperjuangkan.
“Bagi pihak UPKO, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, di Penampang, yang dirasmikan Perdana Menteri, pada Sabtu.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, UPKO akan terus menyokong segala usaha yang menjurus kepada pemulihan hak-hak Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pelaksanaan hak 40 peratus itu amat penting dalam memastikan Sabah memperoleh hak yang sewajarnya selaras dengan kedudukannya dalam Persekutuan Malaysia.
Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan pula, beliau berkata perayaan itu bukan sahaja mencerminkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun dan kaum-kaum lain di Sabah, malah menjadi platform penting untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti rakyat Sabah yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam ucapan perasmiannya menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Beliau berkata, rundingan yang sedang dijalankan ketika ini bertujuan memuktamadkan mekanisme pelaksanaan termasuk aspek perundangan dan kewangan yang berkaitan dengan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara proses rundingan itu diteruskan, Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan pembayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara bagi memenuhi keperluan kewangan negeri berkenaan. – Info X