KOTA KINABALU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenaikan bayaran interim untuk Sabah kepada RM1.5 bilion membuktikan pendekatan melalui rundingan dibuat kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor membuahkan hasil yang diharapkan.
Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika mengulas peningkatan bayaran interim pemberian khas untuk Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri di Penampang pada Sabtu.
Jelasnya, pendekatan kerajaan negeri yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah.
Katanya, pengumuman itu juga sekali gus menolak dakwaan tidak berasas yang menuduh kerajaan negeri di bawah GRS tidak memperjuangkan hak rakyat negeri ini.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah.
“Peningkatan pembayaran ini juga menolak dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak memperjuangkan hak-hak Sabah.
“Hakikatnya, perjuangan hak Sabah bukan hanya diukur melalui laungan kuat di pentas politik atau kenyataan beremosi di media sosial tetapi melalui hasil yang dapat dibawa pulang kepada negeri dan rakyat,” katanya dalan satu kenyataan.
Nizam berkata, proses menuntut dan memuktamadkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini, bukan proses mudah.
Jelasnya, ia melibatkan perincian undang-undang, fiskal, pentadbiran dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
“Rundingan memerlukan kesabaran, ketelitian dan rasa hormat antara kedua-dua pihak. Kita tidak boleh memilih jalan yang berkonfrontasi secara berlebihan atau membakar sentimen rakyat, tetapi akhirnya tidak membawa apa-apa hasil konkrit kepada Sabah.
“GRS memilih pendekatan yang lebih matang. Kita tegas dalam mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama bijak menjaga hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan inilah yang membolehkan rundingan terus berjalan, ruang penyelesaian dibuka dan hasil interim yang lebih besar dapat diperoleh sementara formula muktamad dimuktamadkan,” katanya
Peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion, katanya bukan penyelesaian akhir, tetapi ia adalah satu perkembangan penting.
“Bayaran ini menunjukkan bahawa tuntutan Sabah terus didengar, dipertimbangkan dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar oleh Kerajaan Persekutuan.
“Gagasan Rakyat juga mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu perincian mekanisme dan kaedah pelaksanaan.
“Ini adalah perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63.
“Oleh itu, rakyat Sabah perlu melihat perkara ini secara adil. Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memahami rakyat Sabah mahu penyelesaian yang segera terhadap isu 40 peratus, namun dalam isu besar seperti itu, kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa atau hanya mengejar tepukan politik jangka pendek.
Apa yang lebih penting, katanya ialah memastikan keputusan yang dibuat benar-benar kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah.
“Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus ini dengan segera, telus dan adil sebagaimana semangat MA63.
“Perjuangan hak Sabah mesti diteruskan dengan keberanian dan kebijaksanaan. Kita tidak menolak ketegasan tetapi ketegasan mesti disertai strategi. Kita tidak menolak suara rakyat tetapi suara rakyat mesti diterjemahkan kepada hasil, bukan sekadar slogan.
“Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang tetapi berkesan,” katanya. – Info X