KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 secara rasmi akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2026 sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan sistem pembiayaan sewa beli lebih adil, telus dan berdaya saing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi fasa awal bermula 1 Jun 2026, sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan yang termaktub dalam Akta 212 itu dan peraturan subsidiari di bawahnya sebelum disusuli fasa kedua yang disasar bermula pada September 2026.
Katanya, sejajar dengan pindaan itu, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [PU(A) 171/2026] akan turut berkuat kuasa.
“Penguatkuasaan ini adalah susulan daripada pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah diluluskan di Parlimen pada 2025 sebagai sebahagian daripada ikhtiar memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna.
“Sebelum pindaan ini, antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat adalah berkaitan transaksi sewa beli dalam pembelian kenderaan, khususnya melibatkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.
“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Armizan berkata, antara intipati utama pindaan yang telah dibuat ialah pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78).
Di bawah kaedah itu, katanya sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
“Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira
berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.
Katanya, pindaan akta itu turut memasukkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli sejajar dengan transformasi digital, termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan dan penyerahan dokumen secara digital serta elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.
Di samping itu, katanya pindaan itu turut memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
“Pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini dinasihatkan untuk membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli.
“Pada masa yang sama, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan (grace period) sehingga 31 Mac 2027.
“Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan kementerian sebaik memuktamadkan proses peralihan,” katanya.
Armizan berkata, reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara. – Info X