KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap bayaran interim pemberian khas RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu dapat disalurkan secepat mungkin demi manfaat rakyat Sabah.
Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia membuktikan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan janji.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan,” katanya. – Info X