PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keteguhan perpaduan dan kebersamaan sebagai teras utama untuk maju ke arah memastikan kelestarian pembangunan Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, perkara itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sememangnya komited dan akan terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kepesatan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus terbela.
“Pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan, termasuklah memperkukuhkan ekonomi negeri menerusi agenda yang ditetapkan dalam Hala Tuju Sabah SMJ 2.0.
“Usaha ini termasuklah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa modal insan, melestarikan kesejahteraan rakyat baik di luar bandar mahupun bandar dan memajukan sektor pelancongan melalui kebudayaan.
“Dalam usaha mencapai matlamat ini, sudah tentulah kerajaan memerlukan segenap lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu hati dan bersama dalam membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ketua Menteri mahu rakyat terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran, seiring dengan tema sambutan Kaamatan kali ini, ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’.
“Tema ini amat signifikan dengan suasana dan cabaran semasa yang kita sedang hadapi. Ketidaktentuan ekonomi, cabaran kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cabaran lain menuntut kita untuk terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman melakukan upacara mongomot atau menuai padi diikuti popoopi paai doid tangkob atau menyimpan padi dan seterusnya memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik pengisytiharan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026 di Hongkod Koisaan KDCA di sini, pada Ahad.
Mengenai sambutan Kaamatan, beliau berkata ia bukan sekadar perayaan budaya tetapi platform penting untuk memelihara tradisi etnik daripada pupus, memupuk toleransi dan memperkukuh kestabilan politik serta pembangunan negeri.
“Pesta Kaamatan juga mengingatkan kita bahawa setiap usaha yang membuahkan hasil tuaian memerlukan usaha gigih, kesetiaan bekerja dan pengurusan kerjasama.
“Masa depan Sabah yang makmur tidak akan terbina dengan retorik semata-mata, tetapi melalui kerja keras, kesepakatan, keharmonian dan keikhlasan seluruh lapisan rakyat.
“Semoga Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang aman, sejahtera, maju jaya dan dihormati berteraskan nilai-nilai budayanya yang unik, ditambah dengan sokongan padu daripada rakyat keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kehadiran seluruh lapisan masyarakat pelbagai kaum selain presiden-presiden pertubuhan dan persatuan etnik seluruh Sabah.
“Kehadiran kita semua menjadikan perayaan ini bukti perpaduan yang utuh masyarakat Sabah. Tidak lupa kepada semua pelancong yang datang untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini.
“Perayaan ini adalah manifestasi kesyukuran atas tuaian padi yang melimpah dan simbol perpaduan kaum yang utuh,” katanya.
Majlis penutupan sambutan Kaamatan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. – Info X