Search

Warga emas hilang dalam gua ketika cari sarang burung walit

May 31, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di dalam Gua Tepadung, Segama, di sini, sejak lima hari lalu.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 61, dikatakan memasuki gua berkenaan bersama dua rakannya pada Selasa lalu untuk mencari sarang burung walit sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 2.10 petang hari ini.

Susulan laporan diterima, katanya, seramai lapan anggota bomba dari BBP Lahad Datu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai.

“Berdasarkan maklumat awal, dua rakan mangsa keluar dari gua untuk mendapatkan bekalan air minuman dengan meninggalkan mangsa bersendirian.

“Apabila mereka kembali semula ke dalam gua, mangsa didapati sudah tiada dan gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha pencarian yang dilakukan oleh kedua-dua rakannya juga tidak berjaya menemukan mangsa.

“Keluarga mangsa yang tinggal di Sandakan turut dihubungi dan mengesahkan lelaki itu belum pulang ke rumah sejak memasuki gua berkenaan,” katanya.

Sumsoa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kerjasama anggota polis bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Sehingga petang ini, operasi SAR masih diteruskan dan mangsa belum ditemui,” katanya. – Info X