Search

Gelvia Vanessa dinobat juara unduk Ngadau Kaamatan 2026

May 31, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Wakil daerah Papar Gelvia Vanessa Jenny dinobatkan sebagai Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada pertandingan akhir yang berlangsung di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan beliau berjaya mengetepikan saingan daripada 52 lagi finalis yang mewakili pelbagai daerah dan cawangan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) dari seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.

Naib Juara disandang oleh Juje Elor @ Francis (Tuaran) manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Criszelbellkah Lorris (Matunggong).

Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing disandang oleh Liane Melve Grace Lias (Bandaraya Kota Kinabalu), Kerishine Danil (Pagalungan), Gadrette Gregory (Penampang) dan Myra Evana Robert (Sook).
Pertandingan tahun ini menggunakan format baharu yang menyaksikan 25 peserta terbaik dipilih ke pusingan seterusnya sebelum tujuh finalis terbaik mara ke pentas akhir.

Juara membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta pelbagai hadiah tajaan, manakala pemenang lain turut menerima hadiah wang tunai dan tajaan daripada penganjur.

Terdahulu, para peserta dinilai berdasarkan penampilan, keperibadian, kemahiran komunikasi, pengetahuan budaya serta pemahaman terhadap warisan Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Majlis kemuncak pertandingan itu turut disaksikan ribuan pengunjung yang hadir sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun merupakan simbol penghormatan kepada legenda Huminodun dan kekal sebagai acara kemuncak yang paling dinantikan dalam sambutan Pesta Kaamatan di Sabah. – Info X