Search

56 warga asing, seorang warga tempatan disyaki terbabit penipuan pelaburan dalam talian ditahan di Labuan

June 2, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Seramai 56 warga asing bersama seorang warga tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian menerusi serbuan di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.

Jumlah itu masing-masing membabitkan 48 warga China, lapan warga Vietnam dan seorang warga Malaysia.

Suspek masing-masing berusia antara 20 hingga 46 tahun, dengan 50 lelaki dan tujuh wanita.

Polis Labuan dalam satu kenyataan, berkata operasi yang bermula pada jam 8.40 pagi itu hasil risikan dan maklumat Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Operasi itu dilaksanakan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) di Sabah dan Labuan.

Kumpulan berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa di Korea Selatan.

Polis percaya kegiatan berkenaan beroperasi dari premis terbabit yang turut dijadikan tempat tinggal mereka sejak April lalu.

Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dan barangan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dengan nilai keseluruhan rampasan RM131,500.

Semua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut. – Info X