KOTA KINABALU: Pengumuman bayaran pemberian khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan usaha berterusan Kerajaan Negeri memperjuangkan hak negeri melalui saluran rundingan mula membuahkan hasil.
Menjelaskan perkara itu, bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata peningkatan bayaran interim daripada RM600 juta itu adalah satu perkembangan positif yang wajar dihargai semua pihak dan tidak seharusnya dipandang sinis atau dipolitikkan.
Mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming yang mempertikaikan pengumuman itu, Jerry berkata isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di Sabah adalah perkara kompleks kerana membabitkan aspek perundangan, perlembagaan serta rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Sebarang kemajuan yang dicapai menerusi rundingan perlu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya alasan untuk menafikan usaha yang telah dilakukan.
“Bayaran RM1.5 bilion yang diumumkan bukanlah penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, sebaliknya merupakan bayaran interim, sementara rundingan dan proses berkaitan diteruskan.
“Oleh itu, adalah tidak adil untuk menggambarkan seolah-olah Sabah telah mengalah atau menerima jumlah yang lebih rendah daripada hak sebenar negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jerry turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menurutnya konsisten memperjuangkan hak Sabah melalui pendekatan rundingan yang matang dan berhemah dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan berkenaan terbukti berjaya apabila bayaran interim yang diterima Sabah kini meningkat lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang diterima sebelum ini.
“Malah peningkatan yang signifikan ini membuktikan suara dan tuntutan Sabah sedang diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ia juga menunjukkan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul dalam usaha mendapatkan hak Sabah secara berperingkat dan berterusan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Sabah masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia selepas hampir enam tahun pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jerry berkata kenyataan sedemikian perlu dilihat secara objektif dan menyeluruh.
Beliau berkata, masalah kemiskinan, kekurangan infrastruktur asas, bekalan air, elektrik dan jalan raya bukanlah isu yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya menjadi cabaran yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, pelbagai usaha sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu berkenaan termasuk meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan, memperkukuh pembangunan infrastruktur serta memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Walaupun berdepan cabaran besar termasuk kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji tetap berjaya mencatat pelbagai pencapaian dalam aspek ekonomi dan pembangunan negeri.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menafikan segala usaha dan kemajuan yang telah dicapai hanya kerana masih terdapat cabaran yang perlu diselesaikan,” katanya.
Jerry berkata rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai sesuatu isu dan memahami bahawa perjuangan menuntut hak negeri perlu diteruskan secara konsisten, berhemah dan berlandaskan fakta.
Beliau menegaskan semua pihak seharusnya bersatu dalam memperjuangkan hak Sabah tanpa mengira perbezaan politik, selain menghargai setiap kemajuan yang dicapai demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri. – Info X