Search

Gagal curi kabel Sabah Electricity, suspek dicekup polis

June 2, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki mencuri kabel milik Sabah Electricity di tapak Projek Jalan Pan Borneo berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick, Membakut, gagal apabila kegiatannya disedari pengawal keselamatan sebelum dia diberkas polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, pekerja keselamatan mengesan aktiviti mencurigakan sebelum menemui sebuah motosikal dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Champin Piuh berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan potongan pada kabel SESB, namun suspek dipercayai gagal membawa lari kabel berkenaan selepas melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pekerja di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan suspek sebelum menahannya di Kampung Limpayau, Membakut bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam cubaan mencuri kabel berkenaan.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan jenayah yang menjejaskan kemudahan awam termasuk kes kecurian kabel yang boleh mengganggu bekalan elektrik serta merugikan banyak pihak.

Katanya, orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X