NABAWAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap sebatang pokok reput yang tumbang secara tiba-tiba di Kilometer 36.30, Jalan Sepulut – Kalabakan, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 33 tahun sedang memandu dari arah Sepulut menuju ke Kalabakan bersama isterinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, siasatan awal mendapati sebatang pokok reput tumbang dari arah kanan jalan sebelum menghempap bahagian hadapan kenderaan mangsa.
Katanya, pokok berkenaan mengenai bumbung hadapan, cermin depan dan bonet kenderaan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka sebelum dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, isteri mangsa yang turut berada dalam kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian berlaku ketika cuaca baik dan tiada kejadian tanah runtuh dilaporkan di kawasan berkenaan.
“Mayat mangsa akan dihantar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X