Search

Seorang maut, tujuh cedera dalam nahas di Chanang Hill

June 2, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Chanang Hill, Bandukan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang juga penumpang kenderaan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit di laluan berkenaan sebelum terbabas.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu dan enam penumpang lain mengalami kecederaan, manakala seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk merakam gambar, melakar rajah kasar tempat kejadian serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Selain itu, kenderaan yang terbabit turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Puspakom,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Keningau dan sedang menerima rawatan lanjut.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia pula dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut serta bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – Info X