KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka tirainya hari ini dengan menyaksikan beberapa perjanjian strategik dan pengiktirafan penting yang dijangka mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia serta rantau ASEAN.
Persidangan selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Dalam ucaptama khasnya, beliau menyifatkan ETCon26 sebagai platform serantau yang strategik dan tepat pada masanya dalam memperkukuh kerjasama serta memacu pelaksanaan penyelesaian praktikal bagi agenda peralihan tenaga di Malaysia dan ASEAN.

Hari pertama persidangan turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong di Terengganu, yang diiktiraf sebagai projek BESS pertama negara yang disambungkan ke grid menggunakan teknologi grid-forming.
Fasiliti berkapasiti 100 megawatt (MW) dan 400 megawatt-jam (MWh) itu ditauliahkan lebih awal daripada jadual pada 16 April lalu serta mampu menyokong keperluan elektrik kira-kira 40,000 isi rumah.
Selain itu, TNB Power Generation Sdn Bhd, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd turut memeterai Perjanjian Pemegang Saham serta Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan bagi projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Kenyir.
Projek berkenaan menggabungkan kapasiti penjanaan solar terapung sebanyak 785 MWp bersama sistem BESS berkapasiti 1,190 MWh, yang disifatkan sebagai terbesar di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan usaha negara memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu dan meningkatkan keselamatan tenaga jangka panjang.
Fadillah turut menyaksikan pertukaran dokumen Joint Venture Head of Terms antara TNB Renewables Sdn Bhd dan SME Consortium bagi pembangunan projek solar atas tanah berkapasiti 750 MWp bersama sistem BESS berkapasiti 1,000 MWh.
Persidangan itu turut menampilkan pelbagai sesi dialog dan plenari yang membincangkan cabaran keselamatan tenaga, penyahkarbonan, pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor tenaga.
Antara topik utama ialah strategi memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik serta peranan tenaga nuklear dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih ASEAN.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, syarikat itu akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menyokong aspirasi kemampanan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia serta ASEAN melalui usaha pemodenan grid, integrasi tenaga bersih dan kerjasama strategik.
ETCon26 yang bertemakan “Tenaga dan Kecerdasan Buatan (AI): Sinergi Memacu Peralihan Tenaga” menghimpunkan kira-kira 80 penceramah dari Malaysia dan seluruh dunia, mewakili sektor tenaga, teknologi, kewangan, dasar dan infrastruktur. – Info X