KOTA KINABALU: Tingkah laku seorang lelaki yang dilihat terpinga-pinga dan dipercayai khayal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di bandar raya ini pada 1 Jun lalu, sehingga tular di media sosial akhirnya terbongkar.
Rakaman kejadian berkenaan mula tular sejak semalam dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah mendapati lelaki berusia 24 tahun itu mengaku menggunakan vape mengandungi campuran dadah yang dibeli di sekitar Tanjung Aru.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, hasil siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah berjaya mengenal pasti lelaki berusia 24 tahun itu yang berasal dari Kota Marudu.
Menurutnya, maklumat yang diperoleh kemudian membawa pasukan siasatan kepada ibu lelaki terbabit yang menjalankan perniagaan di daerah berkenaan.
“JSJN Kota Marudu digerakkan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas sabjek. Walau bagaimanapun, keputusan ujian adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Bagaimanapun, hasil temu bual lanjut mendapati dia mengaku menggunakan vape yang mengandungi campuran dadah yang dibeli daripada seorang lelaki di sekitar Tanjung Aru,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata maklumat berkaitan penjual cecair vape campuran dadah berkenaan sudah disalurkan kepada JSJN Kota Kinabalu untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang pemandu dipercayai berada dalam keadaan khayal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dalam rakaman berkenaan, beberapa individu dilihat cuba bertanyakan mengenai ganti rugi kerosakan yang berlaku, namun lelaki terbabit hanya berdiam diri dan kelihatan berada dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya atau “high”, sehingga mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen. – Info X