Search

Tiga lelaki ditahan, 1,000 liter diesel dirampas

June 5, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi memindahkan diesel gagal apabila tiga lelaki ditahan dan 1,000 liter bahan api itu dirampas dalam operasi penguatkuasaan di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort, dekat sini.

Rampasan turut membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda, pam minyak elektrik, hos dan dokumen berkaitan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23,320.

Kes berkenaan diserahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Jamiah Bakar berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 10.45 malam pada 3 Jun lalu di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin digunakan untuk menyimpan diesel dalam tangki yang diubah suai.

“Turut dirampas ialah satu gulung hos, sebuah pam minyak elektrik dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM23,320 termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan KPDN bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya diesel.

Beliau berkata, kerjasama antara agensi penguatkuasaan penting bagi memastikan bekalan barang kawalan sampai kepada golongan sasar serta mengelakkan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

“KPDN memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan pengguna.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Jamiah berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan membanteras kegiatan berkenaan. – Info X