KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa kemudahan tempat letak kereta di pusat bandar adalah mencukupi dengan lebih 20,000 petak parkir disediakan bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung.
DBKK menjelaskan, ketika ini kira-kira 4,005 petak parkir awam disediakan di kawasan pusat bandar dan sekitarnya, selain beberapa kemudahan parkir bertingkat seperti di KK Plaza (452 petak), Menara Jubli (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1 sejam.
Selain kemudahan oleh pihak berkuasa tempatan itu, lebih 19,000 petak parkir tambahan turut disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar, antaranya The Shore, Wisma Sabah, Wisma Merdeka, Warisan Square, Suria Sabah, Riverson, Plaza Shell, Oceanus, KK Times Square, Jesselton Quay, Jesselton Mall, Imago, Kompleks Asia City, Centre Point dan Api-Api Centre.
DBKK turut memaklumkan bahawa caj parkir di premis swasta adalah berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 untuk beberapa jam pertama.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan itu mendapati masih terdapat pengguna jalan raya yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi tidak dibenarkan seperti bahu jalan, laluan keluar masuk premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, laluan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta kawasan yang boleh menghalang aliran trafik.
Menurut DBKK, perbuatan itu bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan risiko keselamatan serta menjejaskan aktiviti harian orang awam dan perniagaan setempat.
Dalam sesetengah keadaan, kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur turut menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain.
DBKK menegaskan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP), termasuk hebahan awal menggunakan siren atau pembesar suara sebelum notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang ingkar.
Bagi kes tertentu yang mengganggu aliran trafik, melibatkan risiko keselamatan awam atau kesalahan berulang, tindakan menunda kenderaan akan diambil sebagai langkah terakhir selepas semua prosedur dipatuhi.
DBKK turut mengingatkan orang ramai bahawa berjalan kaki dalam jarak munasabah dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar utama, selain menggalakkan penggunaan kemudahan parkir di bangunan berhampiran bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar.
Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan serta merancang perjalanan dengan lebih baik ketika berurusan di pusat bandar.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang lebih teratur, selamat, bersih dan mesra pengguna. – Info X