KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Mojuntin menyifatkan Tragedi Double Six bukan sekadar satu peristiwa yang perlu dikenang.
Sebaliknya, beliau berkata ia adalah peringatan bahawa masa depan Sabah mesti sentiasa dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri ini.
Katanya, semangat itulah yang terus menjadi asas perjuangan Sabah First dalam usaha mempertahan dan mendapatkan semula hak negeri ini.
“Bagi saya, Tragedi Double Six bukan sekadar peristiwa yang perlu dikenang. Bukan untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia, tetapi untuk memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dihormati, dilaksanakan dan dipertahankan sepenuhnya.
“Perjuangan menuntut hak 40 peratus, kuasa-kuasa yang dijamin kepada Sabah, pembangunan yang adil serta penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia adalah sebahagian daripada tanggungjawab generasi hari ini untuk meneruskan legasi perjuangan mereka yang telah mendahului kita,” katanya dalam satu kenyataan sempena memperingati ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six pada Sabtu.
Donald adalah waris Datuk Peter Mojuntin, iaitu antara pemimpin Sabah yang terkorban dalam nahas pesawat dekat pantai Sembulan pada 6 Jun 1976 yang turut dikenali sebagai Tragedi Double Six.
Katanya, tragedi itu membawa kesan yang mendalam dalam sejarah Sabah berikutan kehilangan ramai pemimpin termasuk ayahnya dan Ketua Menteri pada masa itu, Tun Fuad Stephens.
“Hari ini, kita memperingati 50 tahun Tragedi Double Six, satu peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah Sabah dan rakyatnya.
“Pada 6 Jun 1976, Sabah kehilangan pemimpin-pemimpin yang telah mengabdikan hidup mereka untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat. Walaupun lima dekad telah berlalu, jasa, pengorbanan dan semangat perjuangan mereka tetap hidup dalam ingatan kita,” katanya.
Donald menegaskan, dalam menghadapi cabaran semasa, rakyat Sabah tidak boleh berpecah, sebaliknya perlu terus bersatu dalam memperkukuhkan suara negeri.
“Kita mesti berdiri bersama sebagai satu keluarga besar, melangkaui perbezaan kaum, agama dan fahaman politik. Hanya melalui perpaduan kita mampu memperkukuhkan suara Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.
“Sempena ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk terus mempertahankan hak, maruah dan masa depan Sabah,” katanya. – Info X