Search

Tiada kejadian luar biasa susulan gempa bumi kuat Mindanao

June 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kejadian luar biasa, kerosakan struktur atau peningkatan paras air laut yang membahayakan dilaporkan di kawasan pantai timur Sabah susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, hasil pemantauan yang dijalankan di beberapa kawasan terjejas setakat ini mendapati keadaan adalah terkawal dan selamat.

Katanya, pemantauan dilaksanakan susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pada jam 7.37 pagi serta nasihat tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Katanya, berdasarkan nasihat berkenaan, ombak tsunami dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Sehubungan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, BBP Tawau, BBP Kunak dan BBP Semporna telah menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di kawasan jagaan masing-masing.

“Hasil pemantauan setakat jam laporan ini mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dilaporkan berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi dengan pusat gempa berada kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City pada kedalaman 50 kilometer.

Gegaran akibat gempa bumi itu turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.

Menurut PGO JBPM Sabah, pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan berterusan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X