KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami bagi beberapa kawasan pantai di Sabah susulan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi ini.
METMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, gempa bumi berkenaan dikesan berlaku pada jam 7.37 pagi tadi berpusat di koordinat 5.7° Utara dan 125.1° Timur, dengan kedalaman 50 kilometer.
Kenyataan itu berkata, pusat gempa terbabit dilaporkan berada kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah.
Katanya, menurut penilaian awal agensi berkenaan, ombak tsunami dijangka boleh melanda kawasan pesisir pantai di beberapa daerah di pantai timur Sabah bermula jam 10.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari, dengan kawasan Pantai Lahad Datu dijangka menerima kesan terawal pada jam 10.30 pagi.
Selain Lahad Datu, antara kawasan lain yang turut dijangka terjejas adalah Tawau, Semporna dan Kunak.
Susulan amaran itu juga, METMalaysia menasihatkan seluruh penduduk di kawasan terbabit supaya segera mengambil langkah keselamatan awal dengan menjauhi kawasan pesisir pantai serta sentiasa mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Pihak agensi akan terus memantau rapi perkembangan situasi berkenaan dan akan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya terdapat sebarang maklumat tambahan,” kata kenyataan itu lagi. – Info X