PENAMPANG: Kegiatan dipercayai mengedar ganja yang dijalankan sepasang suami isteri berakhir apabila kedua-duanya diberkas dalam dua operasi berasingan di sekitar Putatan dan Penampang, 4 Jun lalu.
Dalam operasi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut merampas ganja seberat 294.66 gram dengan nilai anggaran RM2,950.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan pertama dilakukan di tepi jalan di Putatan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 22.85 gram.
“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan siasatan lanjut yang membawa kepada serbuan kedua di sebuah kawasan di Lok Kawi.
“Dalam serbuan berkenaan, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang juga isteri kepada suspek pertama berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi itu menemukan 16 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 271.81 gram.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah.
“Jumlah keseluruhan ganja yang dirampas dalam kedua-dua operasi berkenaan adalah seberat 294.66 gram.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurutnya, suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah berkenaan. – Info X