Search

MCMC arah tindakan segera tingkat kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat

June 8, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan tindakan segera dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan komunikasi bagi meningkatkan kualiti liputan di Kampung Tinagat di sini, selepas menerima aduan berkaitan perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di kawasan berkenaan.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ke Kampung Tinagat telah dilakukan susulan aduan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk
Nizam Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat.

Lawatan itu turut disertai oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat.

Dalam lawatan berkenaan, MCMC telah melaksanakan sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi menggunakan Wireless Broadband Access Service (WBAS) di tiga lokasi yang dikenal pasti di kawasan terbabit.

Hasil pengujian mendapati dua daripada tiga lokasi tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan oleh MCMC, sekali gus menunjukkan keperluan segera untuk tindakan pembaikan oleh penyedia perkhidmatan terlibat.

Dapatan ujian kemudian dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut, termasuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

MCMC memaklumkan, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan sekiranya penyedia perkhidmatan gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Susulan itu, CelcomDigi telah diarahkan untuk melaksanakan penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis pula diarahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi di Kampung Tinagat.

MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan oleh semua penyedia perkhidmatan terlibat bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan berkesan serta memastikan penduduk menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti. – Info X