Search

Pemandu Hilux ekori ambulans di Kundasang kena tindakan

June 8, 2026

Info X Reporters

RANAU: Tindakan seorang lelaki memandu dan memotong kenderaan secara berbahaya di Jalan Kundasang – Mesilou, di sini, mengundang padah apabila dikenakan tindakan penguatkuasaan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 10 saat yang dimuat naik menerusi Facebook Complaint Sabah kira-kira jam 8 pagi, 5 Jun lalu.

Katanya, video berkenaan memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu secara berbahaya ketika memotong kenderaan lain di laluan berkenaan.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ranau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan pemandu terbabit yang merupakan lelaki tempatan berusia 58 tahun.

“Hasil siasatan mendapati tindakan pemandu berkenaan melanggar peraturan lalu lintas dan tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut Kaedah 6(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memotong kenderaan lain dalam keadaan yang boleh menyebabkan bahaya atau kesulitan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, polis memandang serius sebarang bentuk pelanggaran undang – undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan risiko kemalangan.

Menurutnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya demi keselamatan bersama.

“Polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux didakwa dipandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah ambulans yang sedang membawa pesakit.

Menerusi hantaran itu, individu yang memuat naik video berkenaan mendakwa kenderaan terbabit mengejar ambulans sambil memandu rapat dari belakang sebelum berhenti mengekori mereka sebaik tiba di pekan Kundasang.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 4 petang pada 1 Jun lalu di Jalan Desa Mesilou menghala ke pekan Kundasang. – Info X