Search

Lima rumah terbakar di Taman Guan Soon Tawau

June 8, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Lima rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Safie, Jalan Datuk Titingan, Taman Guan Soon, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.34 petang itu, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemisin Ujin berkata, sepasukan 17 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Katanya, jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan lima rumah dengan tahap kemusnahan yang berbeza.

“Rumah pertama jenis separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki persegi terbakar kira-kira 60 peratus.

“Empat lagi rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 30×40 kaki persegi, 80×30 kaki persegi, 40×30 kaki persegi dan 10×15 kaki persegi musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jemisin berkata, operasi pemadaman turut dibantu lima anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan tiga pancutan air daripada jentera Water Tanker untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.55 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.46 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X