TUARAN: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, awal pagi tadi.
Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah Toyota Vios dan Perodua Viva, manakala sebuah Proton Persona mengalami kerosakan pada bahagian belakang.
Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 pagi sebelum mengerahkan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati sebuah rumah terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar sepenuhnya ialah sebuah Toyota Vios dan Perodua Viva, manakala sebuah Proton Persona mengalami kerosakan di bahagian belakang dengan anggaran kemusnahan sebanyak 25 peratus.
“Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian ini iaitu seorang wanita berusia 54 tahun yang cedera ketika menyelamatkan diri, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami serangan asma dan seorang kanak-kanak perempuan melecur pada bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum seorang mangsa dihantar ke Hospital Tuaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa dibawa oleh pasukan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X