KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup dadah jenis kokain dan ganja bernilai hampir RM3 juta menggunakan perkhidmatan kurier berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menerusi serbuan di Tawau bulan lalu.
Rampasan membabitkan 4.6 kilogram kokain dan 10.65 kilogram ganja itu menjadi antara kejayaan terbesar direkodkan JKDM Sabah tahun ini dalam usaha membanteras pengedaran dadah di negeri ini.
Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dadah berkenaan ditemui hasil pemeriksaan ke atas dua kotak mencurigakan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Tawau pada 21 Mei lalu kira-kira jam 11.45 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 10 plastik putih mengandungi ketulan disyaki kokain dan 10 bungkusan aluminium foil berwarna jingga yang mengandungi bunga kering disyaki ganja.
“Kokain yang dirampas seberat 4.6 kilogram dianggarkan bernilai RM2,048,823 manakala ganja seberat 10.65 kilogram bernilai RM851,712.80.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini adalah RM2,900,535.80,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal mengesahkan kedua-dua bahan berkenaan menunjukkan tindak balas positif terhadap dadah berbahaya yang dipercayai kokain dan ganja.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan perkhidmatan kurier sebagai modus operandi untuk menghantar bahan terlarang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai destinasi akhirnya adalah Lahad Datu. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan pemilik serta individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata JKDM Sabah turut merekodkan beberapa rampasan lain membabitkan rokok dan minuman keras tidak berkastam di Keningau, Kota Kinabalu, Kuala Penyu dan Tawau.
“Antara rampasan berkenaan ialah 279,400 batang rokok tidak berkastam bernilai RM251,618.80 di Keningau, 15,840 liter bir bernilai RM341,946 di Pelabuhan Sepanggar, 4,992 liter bir bersama sebuah lori di Kuala Penyu serta 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang disorokkan dalam sebuah Toyota Fortuner di Tawau.
“Turut dirampas sebuah Honda Jazz bernilai RM63,250 yang dipercayai tidak berkastam di Kampung Tinagat, Tawau.

“Secara keseluruhan, nilai rampasan melibatkan dadah, rokok, minuman keras dan kenderaan dalam tujuh kes berasingan itu melebihi RM4 juta,” katanya.
Ahmad Taufik berkata, JKDM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X