Search

‘Siapkan segera projek pembinaan sekolah’

June 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan kepada semua projek pembinaan dan naik taraf sekolah daif di Sabah serta memastikan segala proses kelulusan yang masih tertangguh dapat dipercepatkan.

Menyuarakan gesaan itu, ADUN Likas, Tham Yun Fook, berkata rakyat tidak memerlukan tinjauan kosong, alasan atau janji baharu, sebaliknya mahukan tindakan, garis masa yang jelas dan komitmen tegas memastikan pembinaan sekolah dapat disiapkan secepat mungkin.

“Pendidikan adalah hak setiap anak Malaysia. Kegagalan menyiapkan sebuah sekolah selama bertahun-tahun tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal dan tidak seharusnya berulang lagi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemimpin Parti Warisan yang juga bekas Pegawai Pendidikan itu mengulas projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu yang dilaporkan terbengkalai kerana belum siap setelah 16 tahun dilaksanakan.

Isu sekolah itu sebelum ini dibangkitkan Ketua Wira Warisan Kota Marudu, Anizam Abd Rahman, kemudian disusuli tinjauan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib.

“Saya juga menyambut baik keprihatinan yang ditunjukkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, yang turun padang meninjau sendiri keadaan projek SMK Langkon di Kota Marudu.

“Namun demikian, lawatan semata-mata tidak memadai. Rakyat Sabah, khususnya pelajar, ibu bapa dan guru-guru, mahukan jawapan yang jelas mengenai bilakah projek ini akan disiapkan dan dapat digunakan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan syarikat kontraktor penyiap projek pembinaan sekolah itu diisytihar muflis pada tahun lalu.

Berikutan itu, katanya beliau dimaklumkan Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan (KPM) Seksyen Sabah sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membuka tender baharu, termasuk semakan semula kos projek serta kelulusan berkaitan pertukaran kontraktor.

“Kita dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan bangunan sekolah itu sudah siap hampir 86 peratus.
Persoalannya, bilakah proses ini akan selesai dan bilakah pembinaan dapat diteruskan? Selepas 16 tahun menunggu, rakyat berhak diberikan garis masa yang jelas dan telus,” katanya.

Betikutan itu, beliau menggesa Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta Menteri Pendidikan Malaysia memberi penjelasan mengenai jangka masa penyiapan SMK Langkon dan status terkini projek pembinaan bangunan baharu SK Simpangan di Paitan.

“Bilakah sekolah di tapak baharu itu dijangka siap dan boleh digunakan oleh para pelajar?

“Kedua-dua projek ini melibatkan masa depan anak-anak Sabah. Kerajaan tidak boleh membiarkan murid-murid terus menumpang di sekolah lain dalam tempoh yang terlalu lama sehingga menjejaskan keselesaan, keselamatan dan keberkesanan proses pembelajaran.

“Anak-anak Sabah berhak menikmati persekitaran pendidikan yang kondusif dan setanding dengan pelajar di negeri-negeri lain,” katanya.

Jelas Tham lagi, SMK Langkon dan SK Simpangan bukan sekadar isu pembinaan bangunan sekolah, sebaliknya mencerminkan cabaran yang lebih besar dalam pembangunan pendidikan di Sabah, termasuk kelewatan projek, sekolah daif, kekurangan kemudahan asas dan jurang pembangunan pendidikan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya. – Info X