KOTA KINABALU: Peningkatan aktiviti digital dalam kalangan pengguna meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran maklumat tidak sahih.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata itu antara kesan buruk teknologi digital yang membuka kepada pelbagai kemudahan untuk pengguna.
“Peningkatan aktiviti digital dalam kalangan pengguna membuka ruang kepada pelbagai kemudahan, namun pada masa yang sama turut meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi serta penyebaran maklumat tidak sahih.
“Scammer bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah, di sini, pada Isnin.
Berikutan situasi itu, beliau menegaskan perlunya usaha memperkukuh literasi digital dan kesedaran pengguna sebagai fokus penting membabitkan pelbagai agensi berkaitan.
Sementara itu, katanya GPN Sabah akan terus memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan rentas agensi bagi menangani cabaran semasa yang melibatkan kos sara hidup, keselamatan makanan, transaksi digital dan ancaman penipuan dalam talian.
Katanya, Mesyuarat GPN Sabah Bil 1/2026 pada Isnin itu menjadi platform penting dalam menyelaras pandangan serta memperkukuh kerjasama antara pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna dan pihak berkepentingan.

“Pendekatan rentas agensi adalah sangat penting kerana cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal, sebaliknya melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital,” katanya.
Pada masa yang sama, Julita berkata isu kos sara hidup dan keselamatan makanan turut diberikan perhatian berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa GPN Sabah akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan strategik dalam memperkukuh tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik berkaitan kepenggunaan.
“Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya, dan ini adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah akan terus menyumbang kepada usaha melindungi kepentingan pengguna serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Turut hadir ialah Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod dan Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ts Ramle Kasin.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Ts Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Dr Cleopatra @ Clare Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Kevin Loh Kian Min; dan Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan. – Info X