SANDAKAN: Taktik memindahkan hampir 40 tan minyak sawit mentah (CPO) dipercayai tanpa kebenaran menggunakan lori tangki dan lori kotak terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Jalan Check Point Batu 32, di sini, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 11.45 pagi itu, empat lelaki berusia antara 34 hingga 44 tahun diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemindahan CPO yang menyalahi peraturan pelesenan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM424,000.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan pasukan penguat kuasa di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika operasi dijalankan, anggota mengesan aktiviti pemunggahan minyak sawit mentah daripada sebuah lori tangki ke sebuah lori kotak tiga tan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam unit tangki perantara pukal (IBC Tank) berkapasiti 1,000 liter, sebuah enjin pam, dua tong drum dan satu hos yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan CPO berkenaan.
“Empat lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas sebuah lori tangki, sebuah lori kotak tiga tan serta kira-kira 39,980 kilogram minyak sawit mentah.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan CPO dianggarkan berjumlah RM424,210.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Pelesenan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 (PPLMSM 2005),” katanya.
Ahmad Amri berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan tujuh kes berkaitan pelanggaran peraturan pelesenan MPOB dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM7.46 juta serta melibatkan 19 tangkapan.
Katanya, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan, penyeludupan serta pelanggaran undang-undang yang melibatkan komoditi strategik negara demi memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara. – Info X