Search

Juragan terjun laut, tinggalkan muatan seludup

June 12, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeludup pelbagai barang kawalan dan keperluan harian menggunakan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran gagal apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menerusi Ops Sejahtera, Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0 mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampirinya untuk pemeriksaan.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, juragan bot berkenaan bertindak memecut laju bagi melarikan diri.

Menurutnya, pasukan Maritim Malaysia bagaimanapun berjaya memintas bot itu kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Kampung Bangau-Bangau.

“Bagaimanapun, juragan bot terbabit nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan perumahan atas air berhampiran bagi mengelak ditahan.

“Modus operandi sindiket dipercayai menggunakan waktu awal pagi untuk bergerak aktif bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, namun hasil risikan dan kesiapsiagaan anggota berjaya menggagalkan cubaan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Amir berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu itu menemukan tujuh tong gas, lima tong ‘jerry can’ berisi petrol, 10 beg beras seberat 10 kilogram pelbagai jenama, 14 tin cat bersaiz lima liter, sembilan tin cat bersaiz satu liter serta sebuah tong ikan berwarna merah.

“Semua barangan rampasan termasuk bot dan enjin kemudiannya ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Zon Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara termasuk kegiatan penyeludupan barang kawalan keluar dari sempadan negara.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada pihak Maritim Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan. – Info X