KOTA KINABALU: Sebuah pasar raya di Jalan Ganang, Kepayan, di sini, mengalami kerosakan kira-kira 40 peratus selepas terbakar dalam kejadian malam tadi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.43 malam.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari BBP Putatan dikejarkan ke lokasi sebelum turut menerima bantuan anggota dari BBP Kota Kinabalu.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan pasar raya jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 260 meter persegi.
“Kebakaran mengakibatkan 40 peratus daripada struktur premis berkenaan terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 183 meter dengan empat pancutan air yang disalurkan daripada jentera bomba.
Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 10.35 malam sebelum pasukan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi risiko kebakaran semula, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam,” katanya.
Operasi itu membabitkan seramai 22 anggota bomba dengan bantuan beberapa aset termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Water Tanker. – Info X