BEAUFORT: Sebanyak 500,000 benih udang disediakan kepada enam pengusaha kolam udang seluas kira-kira 50 ekar, di Kampung Bintuka, di sini, sebagai permulaan untuk membantu usaha mereka.
Bantuan itu diumumkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Jamawi Jaafar, ketika lawatan kerjanya ke beberapa aktiviti pertanian dan akuakultur di daerah ini dan Membakut pada Jumaat.
Inisiatif itu, katanya sejajar komitmen kerajaan untuk membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan ternakan udang yang mempunyai potensi pulangan lumayan.
Ketika ini, beliau berkata pengusaha kolam udang di kampung terbabit memasarkan udang segar untuk pasaran Kota Kinabalu dan Brunei.
“Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian dikehendaki pasaran, termasuk restoran makanan laut di Kota Kinabalu.
“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri keperluan mereka dan sebagai permulaan kita membantu menyediakan sebanyak 500,000 benih udang bagi kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan ini,” katanya.
Jamawi berkata, kementeriannya turut bersetuju membantu menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh digunakan bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan.
Katanya, sebuah tapak yang sesuai sudah dikenal pasti bagi pembinaan kolam simpanan dan sistem penyimpanan sejuk yang lebih baik untuk memastikan hasil tuaian dapat dikendalikan dengan lebih teratur.
“Ketika musim menuai, ada kalanya sebahagian hasil tidak dapat diambil segera oleh pembeli. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha boleh menyimpan hasil mereka dengan lebih baik sebelum dipasarkan.
“Ia akan membantu menjamin kualiti udang sentiasa segar dan sistem penyimpanan yang dicadangkan mampu mengekalkan kualiti produk sehingga sebulan,” katanya.
Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu menjana pendapatan yang tinggi jika diurus secara sistematik dan berdaya maju.
“Satu kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kolam.
“Sebab itu saya selalu tekankan bahawa pertanian, perikanan dan penternakan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha, khususnya penduduk kampung, jika diuruskan dengan baik dan terancang,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan (DOF) juga diarahkan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dibantu kerajaan.
Antara keperluan yang dibangkitkan ialah penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan kualiti ternakan udang.
“Peruntukan untuk keperluan itu memang ada di Jabatan Perikanan. Saya minta supaya pelaksanaannya dibuat secara lebih teratur dan jika sempat kita laksanakan tahun ini, jika tidak ia akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata, spesies udang putih atau Penaeus vannamei yant diternak pengusaha adalah antara spesies popular dalam industri akuakultur dan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa.
Terdahulu, Jamawi turut mengadakan lawatan ke perusahaan belacan dan ikan bilis di Kampung Binsuluk, Membakut.
Lawatan kerja beliau diserta Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber, Konservasi & Penyelidikan Jabatan Perikanan Sabah (DOF), Irman Isnain; Ketua Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Moris Chong dan Penguasa Perikanan (Pegawai Perikanan) Daerah Beaufort, Abdul Adnan Amna. – Info X