Search

Objek disyaki bom lama ditemui penyelam, TLDM laksana operasi pemusnahan

June 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Objek disyaki bahan letupan lama atau Unexploded Ordnance (UXO) yang ditemui di dasar laut berhampiran Pulau Mamutik, di sini berjaya dimusnahkan menerusi operasi khas yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semalam.

Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan media, hari ini memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama antara Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT).

Katanya, objek berkarat berukuran kira-kira 25 sentimeter berkenaan ditemui pada 9 Jun lalu oleh seorang pemandu aktiviti snorkeling di dasar laut sebelum penemuan terbabit dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman.

“Penilaian awal mendapati objek itu berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.

“Berikutan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, tanggungjawab operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan ketetapan Operation Planning Committee (OPC),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan EOD yang terdiri daripada anggota Cawangan Selam MPA Timur dan DPBLT menjalankan penilaian teknikal menyeluruh sebelum melaksanakan prosedur pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Operasi khas berkenaan diketuai Leftenan Komander Ts Ahmad Firdaus Zikaria TLDM yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan operasi bagi memastikan setiap fasa dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan serta piawaian EOD.

“Operasi itu berjaya disempurnakan dengan selamat, teratur dan tanpa sebarang insiden,” katanya.

Susulan kejayaan operasi itu, katanya kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat sekali gus menjamin keselamatan pengunjung serta komuniti maritim.

Dalam masa sama, Markas Pemerintahan Armada Timur merakamkan penghargaan kepada PDRM Kota Kinabalu, pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman, komuniti maritim serta pengusaha resort dan aktiviti pelancongan yang membantu sepanjang operasi dijalankan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemui di laut, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – Info X