SIPITANG: Bekalan elektrik di Sabah disasar lebih stabil dan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan Projek Sabah Southern MADANI Link, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek infrastruktur penghantaran elektrik itu adalah pelaburan strategik yang akan memberi kesan besar kepada kestabilan dan kemampanan tenaga negeri, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata, projek berkenaan juga akan memperkukuh jaringan penghantaran elektrik negeri, meningkatkan kestabilan sistem grid dan mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Projek ini juga amat penting untuk membawa Sabah ke fasa pembangunan yang seterusnya apabila pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, industri minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti.
“Justeru, pembangunan sektor tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, di sini pada Sabtu.
Hajiji berkata, projek berkenaan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong program pembangunan Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan asas rakyat melalui penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih berdaya tahan.
Jelasnya, pelaksanaan projek itu juga mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah memiliki sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, kukuh dan berkualiti.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju pembangunan sektor tenaga menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP) 2040 yang berpaksikan tiga teras utama, iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama dan kemampanan tenaga.
Katanya, pelan itu menjadi panduan utama kerajaan bagi memastikan bekalan tenaga bukan saja mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Hajiji berkata, pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui juga akan terus dipergiatkan memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Borneo.
“Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar sinaran suria yang tinggi sepanjang tahun serta potensi biojisim yang luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini.
“Potensi ini bukan saja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Ketua Menteri berkata, infrastruktur tenaga yang kukuh amat penting bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu serta pelbagai kawasan perindustrian dan hab pertumbuhan ekonomi yang sedang dirancang di seluruh negeri.
Katanya, semua kawasan berkenaan memerlukan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan mencukupi bagi menyokong aktiviti industri serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan yang diberikan terhadap pelaksanaan projek berkenaan serta semua pihak yang menjayakan usaha itu.
“Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih gemilang dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang terus berkembang pesat dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
Projek Sabah Southern MADANI Link dilaksanakan dalam dua fasa utama, dimulai dengan Fasa 1A melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV dari PMU Mengalong ke PMU Upper Padas dengan kos sebanyak RM198 juta.
Ia membabitkan pembinaan 162 menara penghantaran dan talian sepanjang 60 kilometer yang dijangka siap pada September 2028.
Sementara itu, Fasa 1B melibatkan pembinaan talian penghantaran dari PMU Upper Padas ke PMU Tawau dengan anggaran kos sebanyak RM1.4 bilion yang membabitkan pembinaan 890 menara penghantaran sepanjang 330 kilometer.
Projek itu bakal melengkapkan rangkaian penghantaran strategik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
Apabila siap sepenuhnya, Sabah Southern MADANI Link akan menjadi tulang belakang kepada integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui berskala besar di Sabah, khususnya pembangunan Tenom Hydro Hub yang merangkumi Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, Telekosang, Upper Padas dan Oriole. – Info X