Search

Mandi bersama rakan, lelaki hanyut dibawa arus

June 13, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda di sungai Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Abner Lasmel, 24, dikatakan menjalankan aktiviti riadah bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus sungai yang kuat dan hilang dari pandangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut maklumat yang diterima daripada rakan mangsa, lelaki terbabit sedang mandi bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus deras dan hilang dari pandangan.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lengkap berkaitan kejadian sebelum memulakan operasi pencarian menggunakan kaedah water surface search and rescue di sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan dengan memberi tumpuan di kawasan mangsa dipercayai hanyut.

“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan,” katanya. – Info X