KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan pimpinannya sentiasa menyokong semua program berunsur perpaduan yang mempertemukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agar hubungan antara komuniti terus diperkukuh.
“Kita juga mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara, sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Likas, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan tahun ini adalah satu penghormatan besar kepada negeri ini.
“Ia juga adalah satu pengiktirafan terhadap budaya kehidupan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai satu cara hidup warisan turun-temurun.
“Inilah juga sumbangan terbesar Sabah kepada pembinaan negara bangsa Malaysia. Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung dan Sarawak, bersama-sama di sini, bukan hanya sebagai tetamu, tetapi juga sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri turut mengajak semua untuk menyelami dan mentafsir semula erti perpaduan sebagai persediaan mendepani masa depan yang lebih mencabar.

“Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur sekadar pada budi bahasa yang indah atau batas toleransi yang pasif.
“Sebaliknya, perpaduan yang tulen menuntut tindakan yang nyata, komitmen yang berterusan, keikhlasan, rasa saling menghormati dan yang paling utama ialah terjaminnya keadilan sosio ekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah.
“Sesebuah institusi keluarga, apatah lagi sebuah negara bangsa besar yang bersifat majmuk seperti Malaysia, hanya akan benar-benar utuh dan teguh apabila setiap ahlinya atau setiap negeri dan wilayahnya, merasakan diri mereka secara mutlak dihargai, dilindungi dan dibangunkan secara adil dan saksama.
“Dengan semangat kekitaan dan kebersamaan yang tulen, sebagai satu keluarga besar Malaysia, hidup dalam semangat perpaduan itu penting dan hidup dalam keharmonian juga penting; ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.
Beliau juga mengajak seluruh rakyat Sabah supaya terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang selama ini menjadi identiti unik rakyat Sabah.
“Dengan semangat kerjasama yang jitu, sudah pasti fokus kepada perpaduan dan pembangunan akan dapat dijayakan dengan lebih mudah melalui kesepakatan sosial dan iltizam politik yang melibatkan semua pihak.
“Marilah kita terus mempereratkan komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, memperkukuh perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita warisi hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya. – Info X